Perguruan Seni Silat Krayung Sendeng berasal dari Kalimantan.Warisan persilatan ini dibawa ke Malaysia oleh Shekh Othman Bin Shekh Abdul Majid. Beliau yang menetap di Kuala Lumpur pada sekitar awal tahun 60-an telah menurunkan warisan persilatan ini kepada Tuan Haji Napiah Bin Abu Hassan yang berjaya menamatkan tuntutannya seminggu sebelum peristiwa 13 Mei 1969.
Menurut Tuan Haji Napiah, asal usul nama Krayung Sendeng berasal dari suatu peristiwa yang berlaku dikalangan sekumpulan penuntut terawal ilmu persilatan ini. Ketika itu ilmu persilatan ini diperturunkan kepada sekumpulan penuntut ilmu keagamaan. Sebagai bekalan ilmu bela diri diperturunkan secara tidak langsung. Menjelang tamatnya pengajian sekumpulan penuntut ini, mereka pun bertanya kepada guru mereka akan nama ilmu bela diri yang telah mereka pelajari. Sang Guru yang 'alim lagi warak tidak pula menjawab soalan yang dikemukakan pada ketika itu.
Ketika kumpulan penuntut itu hendak bertolak pulang ke kampung halaman masing-masing setelah tamat berguru, Sang Guru mengiringi mereka sehingga ke luar perkampungan. Semasa dalam perjalanan itulah berlaku suatu peristiwa sepohon pokok yang agak besar telah tumbang menghalang denai yang mereka lalui. Kumpulan penuntut itu pun memandang Sang Guru meminta pandangan akan apa yang harus dilakukan. Sang Guru yang tidak banyak berkata-kata itu mengeluarkan perintahnya yang berbunyi "kerat !" yang bermaksud "potong". Maka kumpulan penuntut itu pun berusaha memotong pohon tumbang yang menghalang perjalanan mereka itu.
Setelah dipotong mereka akan batang pohon tumbang itu, Sang Guru pun memberi perintahnya agar batang-batang kayu yang dipotong itu dibuang dengan katanya "yong /royong" yang bermaksud buang atau humban ke tepi. Maka kumpulan penuntut itu pun berusaha mengangkat dan mengalihkan batang kayu tersebut. Ketika berusaha itulah tiba-tiba batang kayu yang di angkat itu tergelincir dan menimpa ke arah salah seorang ahli kumpulan penuntut itu. Sang Guru yang melihat akan kejadian itu pun mengeluarkan arahannya dengan berkata "sendeng !" yang bermaksud elak dengan mengiringkan badan.
Setelah selesai mengalihkan pohon tumbang itu, maka kumpulan penuntut itu pun ingin meneruskan perjalanan. Di situ mereka bersalam-salaman dengan guru mereka sambil mengucapkan selamat tinggal lalu berpisahlah mereka dengan guru mereka untuk meneruskan perjalanan.
Dalam perjalanan, salah seorang dari penuntut itu telah teringatkan soalan mereka akan nama persilatan yang tidak dijawab oleh Sang Guru. Maka terkilanlah rasa di hatinya. Sambil berbincang-bincang itu, seorang dari mereka berkata, " Tidakkah saudaraku semua ingat akan tiga patah perkataan terakhir dari guru kita tadi ? Guru kita itu tidak akan berkata-kata melainkan akan perkara yang tersangat penting sahaja. Maka, rasanya kata-kata itu boleh menjadi jawapan kepada persoalan kita !" Penuntut yang lainnya pun mengangguk-ngangguk bersetuju. Maka kata seorang darai mereka, " Tiga perkataan terakhir yang keluar dari guru kita tadi ialah "kerat", "royong" dan "sendeng". Jika disatukan maka jadinya "kerat royong sendeng"." Maka semua mereka itu pun bersetuju akan nama ilmu persilatan itu dinamakan "Kerayong Sendeng".
Maka dari peristiwa itulah PSS Krayung Sendeng mendapat namanya. Begitulah kisah yang diwarisi dari guru ke guru sehinggalah sampai kepada pewaris perguruan sekarang Tuan Haji Napiah Bin Abu Hasan.